Saya kemudiannya ke Pasir Panjang untuk bertemu anak-anak muda dalam Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Negeri Sembilan. Menjelang bulan kemerdekaan, saya tegaskan bahawa keamanan, kestabilan dan keharmonian negara mesti terus dipertahankan daripada dirobek oleh sentimen perkauman dan politik kebencian.
Malaysia ialah tanah air kita bersama. Kita mesti memajukan orang Melayu dan Bumiputera tanpa menekan atau menafikan hak kaum lain. Kita mahu anak-anak Melayu, Cina, India, Orang Asli serta rakyat Sabah dan Sarawak sama-sama maju dan berjaya.
Masalah negara bukan terletak pada sesuatu kaum, tetapi apabila amanah diserahkan kepada mereka yang tidak layak, tidak berwibawa dan tidak amanah. Kepintaran mesti disertai akhlak, manakala kuasa mesti dipandu integriti. Justeru, nilailah pemimpin berdasarkan rekod, khidmat dan kejujurannya, bukan sentimen kaum atau hasutan kebencian.
Sejak diberi amanah mentadbir negara, saya dan pasukan terus bekerja keras untuk membantu rakyat serta memperbaiki segala kepincangan yang diwarisi. Tanggungjawab saya adalah membela kepentingan orang Melayu dan Bumiputera, tanpa mengabaikan orang Cina, India, Orang Asli serta rakyat Sabah dan Sarawak. Kasih kepada negara menuntut kita berlaku adil dan merangkul seluruh rakyat sebagai satu keluarga Malaysia.
Semangat inilah yang mesti diwarisi dan diteruskan oleh generasi muda. Anak muda mesti berani menggapai kemajuan dalam teknologi, kecerdasan buatan dan dunia digital, namun tetap mengakar ke bumi dengan agama, akhlak, budaya dan nilai kemanusiaan.
Inilah makna kemerdekaan yang harus kita hidupkan: sebuah negara yang maju, bersatu dan bermaruah, diterajui oleh generasi berilmu, berani dan amanah.
#MalaysiaMADANI #YakinMADANI