Pada 10 Februari 1993, Richard Hoagland menelefon isterinya, Linda, dari rumah mereka di Indianapolis. Dia memberitahu bahawa dirinya tidak sihat dan perlu pergi ke jabatan kecemasan.
Linda menawarkan untuk bertemu dengannya di sana, tetapi Richard berkata dia tidak boleh menunggu.
Beberapa jam kemudian, Richard masih belum pulang dan tidak memberikan sebarang khabar. Linda mula bimbang. Dia menghubungi beberapa Hospital berdekatan untuk mencari suaminya, tetapi tiada satu pun mempunyai rekod bahawa Richard pernah datang mendapatkan rawatan.
Pada hari yang sama, Linda melaporkan Richard sebagai orang hilang. Siasatan pun dimulakan.
Namun, semakin disiasat kes ini, semakin pelik keadaan yang timbul.
Richard tidak membawa beg pakaian, kot, berus gigi atau pasport. Dia juga meninggalkan keretanya di lapangan terbang Indianapolis. Tetapi tiada sebarang rekod menunjukkan bahawa dia pernah menaiki penerbangan dari lapangan terbang itu.
Beberapa bulan kemudian, dua anak lelakinya menerima kad hari jadi daripada Richard. Setiap kad mengandungi wang tunai AS$50.
Dalam kad tersebut, Richard menulis bahawa dia berharap mereka dapat berjumpa semula suatu hari nanti.
Selepas itu, tiada lagi khabar daripadanya.
Tahun demi tahun berlalu. Linda beberapa kali disoal siasat kerana pihak berkuasa turut menganggapnya sebagai salah seorang suspek dalam kes kehilangan Richard.
Tanpa pendapatan Richard, Linda akhirnya kehilangan rumah dan kereta keluarga. Dia terpaksa membesarkan dua anak lelaki mereka seorang diri.
Selepas kira-kira 10 tahun tanpa sebarang berita, Richard akhirnya diisytiharkan meninggal dunia secara sah.
Namun, 23 tahun selepas dia menghilang, satu panggilan telefon pada tahun 2016 mengejutkan keluarga Hoagland.
Richard sebenarnya masih hidup !
Dia ditemui di Florida dan ternyata selama lebih dua dekad, dia menjalani kehidupan dengan menggunakan identiti seorang lelaki yang telah meninggal dunia.
Lelaki itu bernama Terry Symansky, seorang nelayan yang meninggal dunia pada tahun 1991.
Richard pernah menyewa sebuah bilik daripada bapa Terry. Selepas itu, dia mendapatkan sijil kematian Terry dan menggunakannya untuk membina identiti baharu.
Dengan menggunakan nama Terry Symansky, Richard berjaya mendapatkan dokumen pengenalan, berkahwin dengan wanita lain, mempunyai seorang anak lagi dan membeli sebuah rumah.
Selama lebih 20 tahun, tiada siapa menyedari bahawa lelaki yang menggunakan identiti Terry sebenarnya ialah Richard Hoagland.
Rahsianya akhirnya terbongkar secara tidak sengaja.
Anak saudara sebenar Terry mula menyelidik salasilah keluarganya melalui sebuah laman web genealogi. Dia menemui rekod yang kelihatan pelik "pak ciknya" seolah-olah telah berkahwin semula beberapa tahun selepas kematiannya dan dikebumikan.
Dia kemudian menghubungi pihak polis.
Apabila Richard ditahan dan disoal siasat, dia masih berkeras bahawa dirinya ialah Terry Symansky.
Namun, selepas seorang pegawai meletakkan sijil kematian sebenar Terry di hadapannya, Richard akhirnya mengakui identiti sebenarnya.
Dia kemudiannya mengaku bersalah atas pertuduhan kecurian identiti teruk dan dijatuhi hukuman penjara persekutuan selama dua tahun.
Yang lebih mengejutkan, apabila ditanya mengapa dia meninggalkan isteri dan anak-anaknya serta memulakan kehidupan baharu dengan identiti orang lain, Richard hanya memberikan alasan yang sangat umum:
"Masalah keluarga."