NETANYAHU BERDEPAN DENGAN RED NOTICE INTERPOL; INI CARA KERJA KITA
Pada 21 Ogos, Menteri Kehakiman Türkiye Akın Gürlek mengumumkan bahawa Türkiye telah meminta Interpol mengeluarkan Red Notice terhadap Benjamin Netanyahu dan seorang pegawai Israel, Afek Moskovitch, berhubung tindakan Israel terhadap Global Sumud Flotilla yang membawa bantuan ke Gaza.
Permintaan itu dibuat selepas Mahkamah Jenayah Tinggi ke-11 Istanbul mengeluarkan waran tangkap pada 14 Julai dalam kes yang melibatkan 35 warga Israel, dengan pertuduhan termasuk genosid, jenayah terhadap kemanusiaan dan penyeksaan. Red Notice bukan bermaksud Interpol sendiri telah mengeluarkan waran tangkap antarabangsa tetapi ia permintaan kepada negara anggota untuk mengesan dan, tertakluk kepada undang-undang masing-masing, menahan individu yang dikehendaki. Interpol masih perlu menilai permohonan Türkiye.
Tetapi yang saya nak kongsi bukanlah sama ada Netanyahu akan ditangkap atau tidak. Yang lebih penting ialah bagaimana cara kita bekerja untuk mendapatkan impak. Aktivis ditangkap, ditahan, disoal siasat dan dihantar pulang, tetapi misi itu tidak berhenti di lapangan. Kumpulan pelobi, impak politik, kumpulan legal, jaringan ahli parlimen kita berjuang siang malam memastikan akauntabiliti berlaku sehingga ke Parlimen negara Eropah, meja pembuat dasar, pejabat presiden dan perdana menteri dan akhirnya mahkamah.
Türkiye sendiri membuka prosiding kehakiman terhadap 35 individu dan kini membawa perkara itu ke peringkat Interpol. Bahkan sebelum ini, menteri-menteri luar beberapa negara, termasuk Türkiye, Malaysia, Indonesia, Pakistan, Afrika Selatan dan Sepanyol, telah mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk serangan terhadap GSF.
Kalau kita hanya mengukur GSF berdasarkan “berjaya sampai Gaza atau tidak?”, memang nampak seperti misi itu gagal kerana kapal dipintas. Tetapi kalau ukuran kita ialah sama ada misi itu berjaya mengubah perbincangan politik, menggerakkan ahli politik, membuka ruang tindakan diplomatik dan menghasilkan proses undang-undang terhadap mereka yang didakwa bertanggungjawab, ceritanya sangat berbeza.
GSF bukan sekadar kapal yang belayar ke Gaza. Ia adalah sebuah gerakan yang membawa isu Gaza dari laut ke parlimen, dari parlimen ke meja kerajaan, dan dari meja kerajaan ke mahkamah.
Di sinilah saya rasa kita perlu menilai keberkesanan cara kerja kita berdepan apa-apa isu. Israel pastinya adalah musuh yang lebih kuat dan dibela adikuasa dunia lebih daripada negara lain yang melakukan genosid dan kezaliman terhadap rakyatnya.
Inilah beza vigilantisme yang sekadar membuat bising tanpa ada solusi akhir dengan tindakan penggerak di lapangan secara tersusun. Tindakan dengan akal dan bukan emosi melahirkan natijah walaupun tidak popular di mata orang ramai dan tidak diangkat sebagai wira negara. Nak berdansa dan melolong, buatlah asalkan tidak menghina dan menjatuhkan martabat manusia yang Allah bezakan hanya dengan taqwanya.
Dalam isu pelarian yang sedang kita depani di negara kita, kemarahan rakyat perlu disalurkan ke tempat yang betul. Negara Myanmar yang melakukan genosid, melucutkan kerakyatan warganegaranya dan tidak menyediakan jaminan keselamatan untuk kembali ke sana. Penguasa yang mendapat manfaat dengan meloloskan sempadan, memakan rasuah dan membolehkan kebanjiran pendatang baru masuk. Pembuat dasar yang lambat mencari jawapan malah membiarkan rakyat mengambil tindakan sendiri sehingga mewujudkan keretakan sosial dalam masyarakat.
Kita sedang melakukan semuanya inshaAllah tanpa perlu dijulang, kerana ia tanggungjawab kita semua, bersama.
Kalau kalian rasa pendekatan rasional dan berstrategi yang akan mendatangkan hasil sebagaimana kita dah buktikan, dan nak ikut bertindak, kita alu-alukan dan akan kongsikan dalam masa terdekat